Wednesday, September 2, 2009

Kadazandusun

Jika diteliti, pada tahun-tahun sebelum 1960-an, semua suku dan subsuku Kadazandusun dikenali sebagai orang Dusun. Kemudian selepas 1960-an, suku Tanggara di Penampang dan Papar mula memanggil mereka sebagai orang Kadazan, manakala suku dan subsuku lain masih menganggap diri mereka sebagai orang Dusun (Hamiddun Udin 1991, 58). Menurut Reid (1997, 120), dalam operasi bancian penduduk yang dikendalikan di Sabah sehingga tahun 1960, istilah 'Dusun' digunakan untuk mewakili semua suku dan subsuku Kadazandusun. Istilah 'Kadazan' hanya muncul dalam operasi bancian penduduk di Sabah pada tahun 1970. Keadaan sedemikian menimbulkan perbalahan di kalangan orang Kadazan dan Dusun tentang panggilan yang mana satu harus digunakan untuk mewakili rumpun mereka.


Penggunaan istilah 'Kadazan' untuk mewakili semua suku dan subsuku Kadazandusun mula disarankan oleh Donald Stephen, pemimpin United National Kadazan Organisation (UNKO) pada sekitar tahun 1961. Bagi beliau dan penyokongnya yang tinggal di sekitar daerah Penampang, Putatan dan Papar (bahagian Pantai Barat Selatan Sabah),kata 'dusun' dalam bahasa Melayu yang bermaksud 'kebun' membawa konotasi negatif. Reid (1997, 126-127) pula mengandaikan kata 'kadazan' mungkin berasal daripada kata ‘kakaadazan’ yang bermaksud 'pekan'. Ada sesetengah pengkaji yang menyatakan bahawa kata 'kadazan' itu sama dengan kata 'kadayan' atau 'kedaian' (people of the town). Namun begitu, Stephen dan penyokongnya mengatakan kata 'kadazan' bermaksud 'orang kita' (our people).


UNKO telah menganjurkan satu persidangan pada bulan Ogos 1961, yang dihadiri oleh dua puluh lima (25) orang wakil keturunan Kadazandusun, untuk mencapai kata putus sama ada panggilan 'Dusun' atau 'Kadazan' harus digunakan bagi mewakili semua suku Kadazan dan Dusun. Dalam persidangan tersebut, panggilan Kadazan diluluskan dengan undi terbanyak. Akan tetapi, isu ini tidak berhenti setakat selepas persidangan yang dianjurkan oleh UNKO. Terdapat enam orang wakil yang mewakili kawasan seperti Ranau, Tuaran, Kiulu dan tiga lagi kawasan lain tidak berpuas hati dengan keputusan undi dalam persidangan yang dianjurkan oleh UNKO. Mereka berpendapat bahawa majoriti wakil dalam persidangan itu terdiri daripada penyokong Donald Stephen yang datang dari Penampang dan Papar.


Ketidakpuasan hati keenam-enam wakil yang masih mengakui diri mereka sebagai orang Dusun menyebabkan perpecahan mula berlaku di kalangan orang Kadazan dan Dusun (Hamiddun Udin 1991, 59). Ekoran daripada perkembangan persidangan UNKO 1961, mereka yang tidak berpuas hati telah menubuhkan satu pertubuhan baru yang dikenali sebagai United Sabah Dusun Association (USDA) pada tahun 1967 (Reid 1997, 133). Dengan itu sehingga tahun-tahun 1980-an, persatuan kebudayaan orang Kadazandusun dibahagikan kepada dua, iaitu Kadazan Cultural Asociation (KCA) dan USDA. Keadaan sedemikian berlanjutan sehingga tahun 1989 apabila Presiden KCA pada masa itu, yakni Datuk Joseph Pairin Kitingan mengumumkan bahawa KCA akan bertukar nama kepada Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA). Pairin sendiri mengatakan bahawa mereka ingin menegaskan bahawa semua suku dan subsuku Kadazan dan Dusun adalah satu rumpun yang sama (Reid 1997, 135).


Dipetik daripada buku Membaca Mitos dan Lagenda Kadazandusun oleh Low Kok On.

No comments:

Post a Comment